Home » » Soalan UPSR 2014 Bocor

Soalan UPSR 2014 Bocor

Lain macam sungguh debaran saya tahun ini, maklumlah anak sulung saya, Hawa Nazila Irdina (kakak) salah seorang calon yang menduduki UPSR 2014.



Betapa saya kagum, dengan semangat beliau mengulangkaji pelajaran, menghadiri tuisyen, serta mengikuti kelas tambahan sepanjang tahun ini tanpa keluhan. Kata-kata semangat dan doa sentiasa saya panjatkan agar beliau mendapat kejayaan yang setimpal dengan hasil usaha beliau.

Hari pertama UPSR, sewaktu menghantar beliau ke sekolah, airmata saya bergenang saat dia menyalami tangan dan mencium pipi saya sambil mengungkapkan kata
 "Ibu, doakan kakak tau".

Terus saya memeluk beliau, airmata yang bertakung mula mengalir deras,
"Ibu sentiasa doakan kakak, kakak buat yang terbaik, apa pun keputusan kakak, ibu tetap bangga dengan kakak".



Dahinya saya kucup, langkah kakinya saya iringi dengan doa, semoga beliau tenang menjawab semua soalan.

Semalam, saat membaca perkongsian sahabat-sahabat di laman sosial kebocoran Soalan Sains UPSR 2014, saya mula tidak sedap hati. Sementelah berita menyiarkan peperiksaan sains yang sepatutnya 11 Sept akan ditunda kepada 30 Sept 2014.



Saya melihat reaksi dan merenung mata kakak, ternyata beliau amat kecewa tetapi tidak meluahkan dengan kata-kata.

Hari ini 11 Sept, sewaktu menghantarnya ke sekolah, beliau mula meluah rasa.
"Ingatkan hari ini dah boleh merdeka, lambat lagi la nampaknya"

Mungkin beliau belum tahu untuk meluah apa yang terbuku, tetapi sebagai ibu saya sedar emosi beliau sedikit terganggu, dan sebagai ibu saya juga turut terkilan dengan kes ini.

Dan petang ini sekali lagi, hati seorang ibu terusik dengan Viral laman sosial, soalan matematik dan bahasa Inggeris turut bocor, dan mungkin akan diulang semula. Dugaan apakah ini?



Bagaimana ingin saya terangkan kepada jiwa kecil saya itu nanti?

Cara apakah yang paling sesuai untuk saya mendekati emosi beliau yang tercalar?

Saya amat berharap kes kebocoran ini diselesaikan segera, saya paham semua guru, ibu bapa ingin melihat kejayaan anak-anak mereka biarpun hanya sekadar UPSR. Tetapi kejayaan melalui penipuan sebegini bukan kami sebagai ibu bapa mahupun guru harapkan.



Ini melibatkan masa depan generasi pewaris negara yang kita cintai, Malaysia.

Maaf, jika nukilan ini mengguris hati sesiapa yang membacanya.

Ini nukilan ikhlas daripada seorang ibu yang kecewa.

Lieza 0192432683




0 comments:

Catat Ulasan